top of page

Bank Mualamat Bullets Juara Sulung CPRC

Cabaran kejuaraan Corporate Premier Rugby Championship (CPRC) berakhir dengan kegembiraan untuk pasukan Bank Muamalat Bullets apabila muncul juara sulung menewaskan MPK Royal Town Warriors 18-13 di Stadium Sayyidina Hamzah, Universiti Islam Antarabngsa Malaysia (UIAM).



Dalam saingan ‘Championship Match’ pada Grand Final, Bank Muamalat Bullets bermula garang apabila mendahului seawal minit kedua menerusi sepakan penalti oleh pemain kebangsaan Mohamad Faris Pead, sebelum menggandakan kedudukan pada lewat babak separuh masa pertama.


Royal Town Warriors, mewakili Majlis Perbandaran Klang (MPK) cuba bangkit menerusi ‘try’ oleh Muhammad Farid Fauzi dan ‘drop kick’ oleh Nor Azmi Saruman, namun Faris sekali lagi menjadi wira apabila mencatatkan ‘try’ kejohanan pertama beliau. Amirul Mukminin pula melengkapkan kemenangan mutlak untuk Bank Muamalat Bullets menerusi ‘try’ pada separuh masa kedua.




Jurulatih Bank Muamalat Bullets, Mazuri Sallehudin berkata pujian patut diberikan kepada pasukan Royal Town Warriors kerana memberikan saingan yang sangat sengit dan perlawanan di antara dua pasukan gergasi itu layak menjadi perlawanan grand final kerana ia sangat dramatik dan mendebarkan.


“Untuk perlawanan akhir yang sengit, pasukan yang kurang membuat kesilapan akan menang. Jadi, dua puluh minit terakhir kami cuba untuk mengurangkan kesilapan dan alhamdulillah berjaya.”


Disamping membawa pulang wang tunai berjumlah RM10,000.00 selaku juara, pasukan Bank Muamalat Bullets juga merangkul tiga anugerah individu menerusi Mohamad Faris Pead (‘Backline’ Terbaik), Mohamad Ikwan Akmal (‘Forward’ Terbaik), dan Luqmannurhakiem Mohd Ali (Penjaring ‘Try’ Terbanyak). MPK Royal Town Warriors pula membawa pulang RM5,000.00 selaku naib juara.



Terdahulu, pasukan PPTD Patriots, mewakili Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik muncul pemenang pada perlawanan ‘Challenge Match’ apabila membenam asakan TNB Blackoutz (Tenaga Nasional Berhad) dengan mata 35-24.




CPRC yang dibawakan khas kepada peminat ragbi tanah air oleh Enervive Sports dan Silverlake Innovation Partners sebagai penaja utama mensasarkan lebih banyak penyertaan daripada pasukan ragbi badan-badan korporat dan agensi kerajaan pada masa akan datang.


“Berdasarkan kejayaan penganjuran edisi sulung ini, kami berharap agar kejohanan ini dapat terus mendapat sokongan peminat ragbi tempatan. Kami juga berharap agar lebih banyak pasukan dapat turut serta untuk memeriahkan arena ragbi tempatan,” kata Shahrizin Shaharudin, Ketua Pegawai Eksekutif Enervive Sports.



26 views0 comments

Comments


bottom of page